Thursday, February 23, 2017

23 Ogos 2015 - Tarikh yang akan diingat sampai bila-bila kerana itulah tarikh aku membuat keputusan untuk berhijrah ke bumi Kuching, tanpa pengetahuan sesiapa pun termasuk keluarga aku sendiri. Bukan sebab ingin membelakangkan mereka, tapi aku sendiri kurang pasti berapa lama aku akan berada di sini. Hanya selepas beberapa minggu baru aku memberitahu mereka.

Terlalu banyak sebab untuk aku meninggalkan bumi Tanah Melayu; terutamanya Lembah Klang. Desakan kehidupan yang semakin menekan aku satu-persatu adalah punca utamanya. Aku dapati KL bukan lagi tempat yang sesuai untuk aku.

Jenayah, ekonomi, perkauman, cinta dan banyak lagi.

Sesuatu harus dilakukan atau aku akan terus hanyut; dua pilihan.

Dalam Islam telah diajarkan agar kita berkelana - untuk menimba pengalaman dan mencari rezeki.

Begitu juga naluri Bangsa Jawa aku juga memainkan peranan untuk aku merantau - sesuai dengan kuatnya Bangsa Jawa ini yang suka berkelana sejak dulu.

Mungkin juga secara tidak langsung aku perolehi dari kesan bermain ragbi; yang telah diajarkan bagaimana untuk berundur seketika bagi mencari jalan dan taktik baru untuk mencapai ke garisan try lawan - objektif.

Dan hari ini, 23 Februari 2017; genap 1 tahun 6 bulan aku di sini. Alhamdulillah; aku merasa tenang. Kedamaian itu ada di sini.

Kenapa Kuching?

Aku jatuh cinta dengan Kuching pertama kali sampai di sini dulu untuk tugasan luar ketika itu.

Cuacanya sendu - tidak terlalu panas. Mungkin faktor geografi Kuching itu sendiri yang dikelilingi hutan dan gunung-ganang, banyak sungai dan berhampiran pantai serta kerap hujan.

Aku suka pantai.
Kuching berhampiran dengan banyak pantai.
Aku rasa luas pandangan bila duduk di pantai.
Tenang.

Sungai.
Kuching punya rangkaian sungai yang banyak dan berselirat.
Niat aku satu masa nanti untuk mempunyai sebuah bot sendiri untuk teroka rangkaian sungai-sungai di sini.

Di sini tiada rasa benci membenci antara satu kaum dengan kaum yang lain. Mereka hidup aman damai tanpa ada rasa sengketa. Tiada rasa kau Cina, duduk meja sana. Kau Melayu, duduk kedai lain. Kau Dayak, jangan masuk sini.

Itu semua boleh terjadi di bumi Malaya kini. Aku tidak tahu kenapa. Tapi tidak di sini dan aku harap keadaan ini akan berkekalan hingga bila-bila. Mungkin juga sikap pemimpin-pemimpin di sini yang tidak suka membangkitkan isu perkauman ketika berkempen politik. 

Ya, aku rasa politik punca semuanya. Politikus yang berkepentingan peribadi.

1 tahun 6 bulan dan aku masih punya banyak sebab untuk terus mencintai Kuching.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!