v

Friday, November 05, 2010

Panduan Membeli Insurans Hayat

Pastikan anda membeli insurans hayat daripada syarikat insurans berlesen melalui ejen insurans yang sah.
Membeli insurans hayat merupakan satu perkara yang penting sebagai jaminan kewangan keluarga di masa hadapan. Senarai syarikat insurans berlesen boleh diperolehi di laman web Bank Negara Malaysia dan sekiranya anda perlu maklumat lanjut, hubungi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).


Buat perbandingan kadar premium
Meneliti dan membuat perbandingan kadar premium dan manfaat insurans daripada beberapa syarikat insurans. Pastikan anda membuat perbandingan di antara polisi yang serupa kerana tidak semua polisi insurans mempunyai manfaat yang sama.


Fahami skop perlindungan, terma dan syarat polisi
Pastikan anda memahami semua peruntukan di dalam polisi yang ingin anda beli. Jika perlu, dapatkan penerangan daripada syarikat insurans. Berhati-hati jika anda dijanjikan bonus atau skala dividen.


Elakkan sebarang perlindungan yang tidak perlu
Jangan rasa tertekan untuk membeli produk-produk yang dipakej sekali yang mungkin mengandungi perlindungan tetap yang tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat pilihan bagi mendapatkan perlindungan tambahan atau rider dengan premium tambahan yang memberi nilai pulangan yang lebih baik.

Pastikan insurans hayat yang dicadangkan benar-benar sesuai untuk anda
Semak polisi yang dicadangkan dengan teliti bagi memastikan ia menepati keperluan peribadi anda.

Periksa tarikh insurans anda berkuat kuasa
Tarikh insurans anda berkuat kuasa mungkin berbeza daripada tarikh syarikat insurans anda mengeluarkan polisi itu. Tanya ejen insurans anda bilakah tarikh polisi anda berkuat kuasa.

Isi borang permohonan anda dengan teliti
Jangan menandatangani cadangan atau borang permohonan kosong. Pastikan semua maklumat di dalam borang cadangan anda lengkap dan tepat bagi mengelakkan kelewatan atau tuntutan ditolak.

Pastikan premium dibayar kepada syarikat insurans
Pastikan anda membuat pembayaran cek atau kiriman wang kepada syarikat insurans anda dan bukan kepada ejen insurans dan minta resit selepas pembayaran sebagai bukti pembayaran.

Baca polisi anda apabila anda menerimanya
Anda diberi masa selama 15 hari untuk meneliti kandungan polisi selepas menerimanya. Gunakan peluang ini untuk memastikan polisi itu benar-benar sesuai untuk anda.



No comments:

Post a Comment